sisipan lawak~

bismillah~

kat bawah nie ade satu citer yg aku 'paste' dari grup yahoo MMU..mmg lawak la citer nie..kalo aku dh kata lawak mesti lawak nye la...kowang tesco(test) bace...agak pnjang tapi menarek..tesco(test lagi) laa ek..


Farid dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, sepertimana keluarga-keluarga lain yang dikategorikan kekurangan di dalam komuniti Melayu. Farid juga, bukanlah seorang yang bijak dalam akademik, jika dibandingkan dengan adik-adiknya mahupun jika dibandingkan dengan cikgu-cikgu di sekolah rendahnya. Namun, azam Farid tinggi, setinggi Azam Dungun, komposer lagu terkenal, untuk menolong kedua ibu bapanya yang telah uzur dimamah usia, serta menolong adik-adiknya yang masih di bangku sekolah untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Niatnya ikhlas. Walaupun dilahirkan agak lembut berbanding lelaki-lelaki lain di dalam keluarganya, namun Farid tetap disayangi oleh ibu bapanya dan dihormati oleh adik-adik perempuannya.

Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia-nya yang sekadar ala-carte (ala kadar) sahaja, Farid bercadang untuk ke ibu kota cinta, bagi mencari pekerjaan. Namun, hasratnya itu dihalang oleh ibu bapanya. Mereka merasakan adalah lebih baik bagi Farid untuk mencuba nasib di kilang Pak Chow yang baru sahaja dibuka. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ibu Farid, iaitu makcik Fauziah, yang sering batuk-batuk, dan demam. Menurut doktor, demam makcik Fauziah ini lain daripada yang lain, kerana demamnya akan kebah sebaik sahaja pakcik Hussin mendapat gaji daripada Tokey Ah Tim, hasil jualan getah kepingnya. Tiada getah keping, maka demamlah makcik Fauziah.

Nasib menyebelahi Farid, Pak Chow yang kebetulannya adalah anak kepada sahabat baik suami makcik Fauziah, sememangnya memerlukan pekerja yang rajin seperti Farid. Farid diberi jawatan yang agak popular, iaitu sebagai watchman, ataupun 'Pak Guard'. Bunyinya adalah seperti 'businessman' , oleh itu Farid dengan menerimanya dengan hati yang terbuka sebanyak beberapa inci.
Di kilang itu, Farid telah bertemu dengan seorang sahabat baik, namun juga lembut sepertinya, bernama Mahfuz. Mahfuz telah berpindah ke Kuala Lumpur kerana mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih lumayan katanya, setelah hampir 3bulan bekerja bersama-sama Farid untuk syif siang.
Malang tidak berbau ataupun berbunyi 'kring kring', kilang Pak Chow terpaksa ditutup atas sebab-sebab yang agak tidak difahami. Rupa-rupanya, Pak Chow mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerjanya. Jadi, pihak berkuasa telah menyita kilang Pak Chow dan sekaligus menyebabkan Farid hilang pekerjaan glamournya. Farid mengambil keputusan untuk menghubungi sahabat baiknya, Mahfuz melalui SMS. Mahfuz menawarkan Farid pekerjaan yang dikatanya memberi pulangan yang agak lumayan. Ibu bapa Farid terpaksa melepaskan anak kesayangan mereka itu, dengan harapan Farid akan mendapat rezeki yang lebih baik dan diberkati Allah di Kuala Lumpur.

Setibanya di ibu kota, Farid hampir-hampir terkejut dengan perubahan diri yang telah dialami oleh Mahfuz. Mahfuz ternyata lebih advance dan lebih elegant kata mat saleh. Mahfuz memandu kereta mewah, dan memakai jam yang mahal, pastinya tidak termampu oleh Farid untuk memilikinya. Farid merenung jam yang dipakai oleh Mahfuz. "Apa yang awak renung tu Farid?" tanya Mahfuz. "Em, saya tengok awak dah lain. Awak kerja apa sekarang ni Mahfuz?". "Awak, nama kita sekarang ni, Mahfuzah. Awak panggil kita Mahfuzah ya? Em, adalah kerjanya. Nanti boleh jadi senang macam ni,awak nak?"

Farid memandang Mahfuzah dengan penuh takjub. Pernahkah anda melihat takjubnya seseorang ketika mendengar ceramah yang diberikan oleh penjual ubat di pasar malam Kerinchi? Nah, begitulah takjubnya pandangan yang dilemparkan Farid. Siapakah yang mampu menolak kemewahan yang ada di depan mata, kiranya iman di dada belum lagi utuh? Farid mengangguk-angguk tanda setuju, lagaknya seperti penyanyi yang menyanyikan lagu 'angguk-angguk, geleng-geleng' . Bermulalah dari saat itu, Farid bergelar Mak Nyah Eksklusif khas untuk Eksekutif sahaja. Perbelanjaan Farid pada mulanya ditanggung kurang halal oleh Mahfuzah. Mahfuzah membelikan Farid segala-galanya yang diperlukan, termasuklah pil-pil hormon yang terhangat di pasaran. Farid semakin gembira, teringat zaman kecilnya, di mana dia lebih suka memakai baju kurung di pagi raya berbanding baju Melayu yang sepatutnya dipakai olehnya. Setelah bekerja hampir beberapa bulan, Farid yang telah menukar namanya kepada Faridah ataupun nama tidak kurang manjanya, Dahlia, mampu untuk membuat pembedahan menukar jantina di Thailand. Dahlia adalah versi 'transvestite' kepada Mohd Farid Hussin.

Sekiranya anda tidak membaca cerita ini, dan anda melihat Dahlia, pastinya anda juga akan terpikat akan kejelitaannya. Dahlia juga telah mengambil suntikan Botox dan sewaktu dengannya, dan rupanya sekarang adalah saling tak tumpah seperti artis-artis yang mengambil Botox dan melakukan pembedahan plastik ke atas hidung dan pipi mereka.
Setelah hampir dua tahun tidak mengirimkan khabar berita ke kampung, mahupun untuk berusaha untuk pulang ke kampung, Dahlia akhirnya mengambil keputusan untuk menjenguk ibu bapanya. Dia tidak mahu mengikut resam Mahfuzah yang tidak pernah pulang ke kampung mahupun menghantar e-mail atau berita akhbar setelah menjadi Mahfuzah atau panggilan manjanya adalah Darling.

Dahlia memandu sendiri pulang ke kampung, kerana dia tidak mahu untuk ke Pudu, dikhuatiri make upnya akan luntur dek asap-asap di Pudu. Dia juga khuatir, sekiranya, pelanggannya boleh dilihat berkeliaran di Pudu, maka jatuhlah air mukanya. Kenapa tidak Dahlia naik Air Asia sahaja? Katanya, "Ala, nanti stewardess tu jeling-jeling I la..benci nyah..!" Dahlia menunjukkan mimik mukanya yang jelas jelik dengan perangai pramugari-pramugari yang dikenalinya.

Setibanya di kampung, keluarganya hampir tidak mengenali Dahlia, dan tidaklah pula mereka berbangga dengan perubahan itu. Ibunya hampir pengsan melihat perubahan diri Farid, bapanya pula sudah hampir bersilat di tangga, menghalau Farid keluar dari kawasan halaman rumah mereka, seraya berkata, "Kau tinggalkan rumah ini, jangan pernah fikir untuk jejakkan kaki ke sini selagi kau tak insaf! Tapi, balik ke Kuala Lumpur jalan kaki saja, kereta tu, bapak nak pakai..!" Sambil jari telunjuk pak Hussin menuding ke arah kereta BMW 5 Series milik Dahlia. Orang kampung yang lalu lalang, lantas berhenti melihat 'peperangan' itu. Dahlia menjadi agak malu, lantas tanpa mempedulikan kata-kata bapanya itu, dia terus menghidupkan suis kereta dan memecut laju terus ke Kuala Lumpur dan hanya berhenti di R & R untuk membetulkan make upnya yang luntur akibat air matanya yang jatuh berderai.

Namun, kejadian tadi sedikit sebanyak telah menyentuh hati Dahlia, tanpa menggunakan jari. Dahlia pulang ke apartmennya. Ternyata, dia merindui adik-adiknya, dan ibunya yang cukup penyayang walaupun kadang-kadang agak autokrasi. Dahlia terlelap.
Apabila Dahlia terjaga, dia terdengar azan Subuh yang mendayu-dayu mengejutkan umat Islam yang selalunya lalai dalam menjalankan urusan Allah. Dahlia menangis, menyesali apa yang telah dilakukannya. Dia terjelepuk ke bucu katil, sambil tangannya mengambil bantal bersarung SpongeBob lalu disembamkan ke mukanya yang masih lagi ber make up, walaupun sudah bangun dari tidur, sepertimana artis-artis di dalam drama Melayu yang ditayangkan di TV1 mahupun TV2. Artis-artis tersebut masih dalam keadaan ber make up walaupun baru saja bangun dari tidur, ataupun dalam keadaan sakit di hospital. Dia tekad, untuk bertaubat, dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan, dia malu, sesungguhnya malu dengan keadaannya sekarang.

"Darl..I tak nak lagi jadi macam ni, I nak berubah, I nak kembali ke pangkal jalan." Ungkap Dahlia pada Darling ketika makan malam di Saloma Bistro. "Kenapa ni? U ada masalah ke? Cakaplah kat I, duit tak cukup? Dato' mana yang sakitkan hati U kali ni sayang? Dato' K..?Dato' A..?Dato' B..?mahupun Dato' C?" Dahlia melemparkan pandangan kosong pada Darling sambil menguis-nguis baki makanannya di pinggan. Air matanya mengalir lagi. "Cukuplah setakat ini Darl..cukup. ." Air matanya semakin lebat, selebatnya hujan peralihan beserta ribut di Terengganu. Lagu Mawi, Aduh Saliha tiba-tiba sahaja kedengaran. Namun, nama Saliha itu didengarinya seperti Dahlia. Dahlia terus berlari ke luar, dan meluru ke arah keretanya. Dipecutnya terus sehingga ke rumahnya. Dahlia berkurung di dalam rumahnya hampir seminggu.
Selepas perintah berkurung yang ditajanya sendiri selama seminggu itu, Dahlia akhirnya mengambil keputusan untuk berubah ke arah kebaikan. Selepas bersiap-siap, dengan berwajah baru, Dahlia ke rumah Darling.
Ting!Tong!.. ..loceng pintu apartment Darling berbunyi.
Darling membuka pintu. Darling hampir menjerit melihat orang yang dilihat di depannya sekarang. "Engkaukah wanita itu?" Jerit Darling.
"Ya, akulah wanita itu,akulah Dahlia." Jawab Dahlia yang memakai tudung, berwajah baru, secara selamba. Ternyata Dahlia ataupun Mohd Farid, 'insaf' dalam pemahamannya sendiri."

0 comments: