lelaki kuching~



Polis perketat kawalan di sempadan, buru dua suspek culik budak lima tahun

PETALING JAYA: Polis mengetatkan kawalan di semua pintu sempadan dan lapangan terbang dalam gerakan mencari Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang berhampiran rumahnya di Taman Medan, dekat sini, kelmarin serta memburu dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, gerakan bersepadu besar-besaran yang bermula semalam itu turut membabitkan langkah mengedarkan poster mangsa dan lakaran wajah suspek ke seluruh negara.


Katanya, satu pasukan khas yang dianggotai bersama pegawai dan anggota polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya juga ditubuhkan untuk menerajui siasatan.

Pasukan itu yang sedang berusaha menjejak dan mengenal pasti dua suspek terbabit berdasarkan lakaran wajah atau fotofit yang diperoleh daripada maklumat saksi, diketuai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad.

Musa berkata, lakaran itu turut diedar kepada media bagi membantu siasatan polis yang dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada penjagaan sah dan mereka yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun.

DICARI: Lakaran wajah suspek diedar Bukit Aman.

"Kita akan bertindak pantas mengesan suspek dan melancarkan gerakan besar-besaran serta berharap saksi kejadian terutama peniaga dan orang ramai tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan ibu bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin dan Suraya Ahmad.

Mereka sebelum itu mendengar taklimat yang diberikan Arjunaidi berhubung kes kehilangan Sharlinie.

Kelmarin, akhbar melaporkan Sharlinie hilang ketika berjalan pulang ke rumah bersama kakaknya di Jalan PJS 2C/11N, Taman Medan, dekat sini selepas bermain di taman permainan berdekatan, pada kira-kira jam 11.30 pagi. Berdasarkan maklumat kakaknya, Sharliena, 8, seorang wanita berambut paras leher dan memakai kasut tumit tinggi mengumpan adiknya dengan gula-gula sebelum menariknya masuk ke dalam kereta berwarna hitam lalu melarikannya.

Mangsa adalah kanak-kanak perempuan kedua dilaporkan hilang dalam tempoh kurang 48 jam di situ, selepas Nur Fatihah Zaidi, 6, dilarikan seorang lelaki bermotosikal ketika bermain di taman permainan Pangsapuri Desa Sepakat, kira-kira enam kilometer dari situ sebelum ditemui ditinggalkan di Wangsa Maju.

Dalam kes Nur Fatihah, lelaki berkenaan dikatakan mengajak mangsa mencari kucing dan burung, sekali gus menguatkan dakwaan suspek mungkin lelaki sama dengan `lelaki kucing' yang mencabul dua kanak-kanak perempuan di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak pertengahan tahun lalu.

Polis sebelum ini turut melihat kemungkinan kaitan kehilangan Sharlinie dengan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati kira-kira sebulan selepas dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan seorang lelaki, September lalu.

Musa berkata, fotofit dua suspek yang diedarkan polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan Sharlinie adalah sama dengan lakaran wajah lelaki yang menjadi buruan dalam kes cabul dua kanak-kanak di Kampung Baru.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Medan sudah dipanggil bermesyuarat dan beliau sudah meminta Khalid berbincang dengan mereka bagi menempatkan seorang dewasa di taman permainan itu bagi mengawasi kanak-kanak di situ.

Katanya, beliau juga mengesyorkan supaya JKKK di kawasan lain mengambil langkah sama dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak yang menjadi tanggung jawab bersama polis serta semua ibu bapa.

Sementara itu, Shahrizat berkata, kerjasama semua pihak khususnya orang ramai dan media dalam membantu menjejaki Sharlinie dan suspek amat diperlukan bagi mengelak kes seperti yang berlaku terhadap Nurin Jazlin berulang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes kehilangan Sharlinie boleh menghubungi polis di talian 03-79662184/2177 atau SMS ke Rakan Cop, di nombor 32728.


::sesapa yang ade ank kecil ..jaga2 la ngn lelaki kuching ini.sgt berbahaya orgnya.

1 comments:

Hawa said...

Assalaamualaikum..

Maafkan saya.. Tetapi saya rasa ejaan 'kuching' yang terdapat di dalam teks ini perlu dibetulkan.. Pada pandangan saya, warga Sarawak yang melayari blog ini bisa tersinggung sementelahan Kuching merupakan gelaran bagi ibu negeri Sarawak.. Ejaan yang sepatutnya adalah 'kucing'.. Walau bagaimana pun, saya ucapkan tahniah kerana anda prihatin terhadap isu besar yang melanda tanah air kita..

Sekian.. Harap anda tidak tersinggung dengan teguran ini..